PERISTIWA
ISRAK DAN MIKRAJ
Marilah
kita sama-sama juga memperingati peristiwa penting yang berlaku di bulan Rejab
ini iaitu peristiwa paling agung dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Israk
Mikraj Nabi Muhammad SAW.
Firman
Allah SWT,
Maksudnya
: “ Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari
dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami
berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan
dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha
mengetahui ”.
Surah Al-Isra’, ayat:1
Surah Al-Isra’, ayat:1
Tanggal 27
Rejab setahun sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah Al-Munawwarah
mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan baginda SAW iaitu perjalanan Israk
Mikraj. Israk membawa pengertian perjalanan nabi Muhammad SAW pada malam hari
dengan menuggang Burak bermula dari Masjid Al-Haram di Makkah Al-Mukarramah ke
Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.
Manakala
Mikraj membawa maksud naiknya nabi Muhammad SAW ke langit dari Masjid Al-Aqsa
ke Sidratul Muntaha.
Sepanjang perjalanan israk Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu:
1. Kaum
yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai,
hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini
berlaku berulang-ulang.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang
digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan
yang lebih banyak.
2. Tempat
yang berbau harum.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut
anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat
bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap
teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
3.
Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan,
kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan
berkali-kali.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk
sujud (sembahyang).
4.
Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan
secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api
dan batu dari neraka Jahannam.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat
harta mereka.
5. Satu
kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan
daging masak ada di sisi mereka.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina
sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
6. Lelaki
yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
7. Lelaki
yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah
lagi kayu yang lain.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi
masih menerima amanah yang lain.
8. Satu
kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi
berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti
biasa.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan
sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
9. Kaum
yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia
(mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10. Seekor
lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya
semula lubang itu.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur).
Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.
11.
Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan.
Rasulullah tidak memperdulikannya.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya,
nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.
Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti.
Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke
hari tua.
13.
Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.
Rasulullah
SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan
menanti saat hari kiamat.
Setibanya
di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah SAW turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam
masjid dan mengimamkan seluruh para nabi dan rasul untuk mengerjakan solat dua
rakaat.
Selepas
itu, Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Malaikat Jibrail AS dua gelas
yang berisi arak dan susu. Baginda memilih susu lalu diminumnya. Rasulullah SAW
diberitahu oleh Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu
dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Dan sepanjang
perjalanan mikraj Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di
antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu:
Didatangkan
Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. baginda naik ke atas tangga pertama
lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
1. Langit
Pertama: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke langit pertama, lalu
berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan
riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan
mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina
perempuan.
2. Langit
Kedua: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik tangga langit yang kedua,
lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa AS dan Nabi Yahya AS.
3. Langit
Ketiga: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit ketiga, lalu masuk
dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.
4. Langit
Keempat: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit keempat, lalu masuk
dan bertemu dengan Nabi Idris AS.
5. Langit
Kelima: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk
dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
6. Langit
Keenam: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk
dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu dengan Nabi Musa AS.
Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat
baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa
hisab.
7. Langit
Ketujuh: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk
dan bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah AS yang sedang bersandar di
Baitul-Ma’mur di hadapan beberapa kaumnya. Nabi Ibrahim AS bersabda, “Engkau
akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat yang terakhir dan
terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman
syurga iaitu ‘la haula wa la quwwata illa billah’” Mengikut riwayat lain, Nabi
Ibrahim AS bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka,
syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah,
iaitu: ‘suhanallah, walhahamdulillah, wa la ilah illa allah, wallahu akbar, wa
la haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil azim’. Bagi orang yang membaca
setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat
beberapa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS
masuk ke dalam Baitul-Makmur dan mengerjakan solat (Baitul-Makmur ini
betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
8. Tangga
Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” pada dahan pokok Sidratul-Muntaha.
Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air
yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah,
daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi
permata-permata yang indah.
Unggas-unggas
emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda
Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke
syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan
Malik pennjaganya.
9. Tangga
Kesembilan: Di sini pada pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW. masuk ke
dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang
lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya
sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki
ibu bapanya.
10. Tangga
Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat
Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepala baginda,
lantas sujud dan bermunajat kepada Allah SWT. Kemudian, Allah SWT memfardhukan
solat 50 waktu kepada Rasulullah SAW dan umat Islam.
Selesai
munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS dan kemudian menemui
Nabi Musa AS lalu menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi
keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali
merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah SWT perkenan
memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya
sebanyak 50 waktu juga.
Setelah
daripada itu, Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula dan seterusnya turun
ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq untuk pulang ke Makkah Al- Mukarramah
pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa
peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj
yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam
Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.
(Sumber :
Kitab Jam’ul-Fawaa`id)
Kesimpulannya,
peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang
diceritakan setiap kali 27 Rejab menjelang tiba. Apa yang lebih penting adalah
kita hendaklah menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi
meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk
dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran
seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan
takut akan kekuasaan-Nya.
Sekiranya
kita dapat menghayati dan mengambil pengajaran daripada peristiwa penting ini,
kebarangkalian besar kita mampu mengelakkan diri kita daripada melakukan
kemungkaran yang dilarang oleh Allah SWT dan berlumba-lumba untuk melakukan
perkara-perkara kebaikan yang diperintah oleh Allah SWT. Peristiwa Israk Mikraj
juga, untuk menguji umat Islam bahawa adakah percaya atau tidak akan peristiwa
tersebut.
Orang
kafir quraisy Makkah di zaman Nabi Muhammad SAW langsung tidak mempercayai peristiwa
itu, malahan memperolok-olokkan baginda sesetelahnya bercerita kepada mereka
dan ramai di kalangan umat Islam ketika itu murtad kerana tidak mempercayai
peristiwa Israk Mikraj baginda SAW dalam tempoh masa yang singkat berlakunya
dan tidak masuk akal. Tinggallah segelintir umat Islam yang keimanan mereka
tinggi dan teguh yang membenarkan serta mempercayai peristiwa yang dialami oleh
baginda SAW.
Pensyariatan
kefardhuan solat lima waktu sehari semalam merupakan pensyariatan secara
langsung daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW berbanding pensyariatan Islam
yang lain dengan perantaraan Malaikat Jirail AS dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment